Wednesday 18 April 2018

RIDE KE TAMAN NEGARA ENDAU-ROMPIN (SELAI) 24 - 25 MAC 2018




24 Mac 2018

Seperti yang dipersetujui, kami berkumpul di Zie Resepi Mee Bandung Ketam, Bukit Kepong pada jam 1.00 tengah hari. Aku bergerak dari rumah di Melaka, melalui Pagoh (singgah rumah ayah aku) manakala Pok Deng, Ibrahim dan Zaki dari Selangor. Aku tiba lewat 15 minit kerana tercari - cari lokasi sebenar kedai makan tu. Dalam google map (pada masa itu), lokasi kedai makan tu di sebelah Galeri Darurat Bukit Kepong, padahal lokasi sebenar lebih kurang 1 km dari situ. Akashah pun turut sama makan bersama - sama kami memandangkan kampung isterinya tidak jauh dari situ.


Dari kiri: Pok Deng, Akashah, Zaki dan Ibrahim

Mi bandung ketam yang dipesan oleh Pok Deng (RM 24)

Lokasi GPS 2.347157, 102.839226


Lepas makan dan borak - borak sekejap, kami meneruskan perjalanan ke Bekok melalui Felda Maokil (J230) dan berhenti singgah mengisi minyak di Petronas Felda Maokil. Selepas mengisi minyak, hujan turun dengan lebatnya. Aku dan Zaki berhenti untuk menyarung baju hujan. Kami bergerak dalam hujan melalui Jalan Felda Maokil (1417) sehingga ke Jalan Labis (FT 1). Jalan dari Bukit Kepong ni berbukit - bukit. Jadi, moto akulah yang paling lambat melayan bukit tu.

Sejurus selepas isi minyak di Petronas Felda Maokil


Sampai di simpang Jalan Labis, kami belok kanan ke arah Bekok. Hujan berhenti bila kami sampai di simpang Bekok.

Jam 3.25 petang, kami tiba di Pejabat Taman Negara Endau - Rompin Selai, di dalam Pekan Bekok. Kami mendaftar dan membayar yuran masuk ke Taman Negara.

Camping 1 malam dengan khemah sendiri = RM 17 seorang.
Guide ke Takah Pandan = RM 201.80 (max. 10 orang) - kami kongsi berempat
Deposit kebersihan = RM 50 (dipulangkan semasa balik)

Sebenarnya, kenderaan (4x4) juga boleh disewa (dengan pemandu) untuk masuk ke Taman Negara. Cuma perlu menelefon lebih awal sahaja untuk booking (07-9222875).




Jam 4.30 petang kami tiba di campsite Lubuk Merekek. Campsite ni sebelah dengan Sungai Selai. Ada 1 grup (pelancong asing) yang berkhemah di sini dan mereka menggunakan khidmat 4x4 dan tukang masak. Kami berkhemah tidak jauh dari mereka memandangkan dekat dengan tandas dan surau.



Masing - masing keluarkan barang untuk setup khemah.

Dari kiri: Kawasaki Versys 650, Triumph Tiger 800 XC, Honda Wave 100 dan Yamaha Y15ZR



Triump Tiger 800 XC @ Lubuk Merekek


Ambil peluang testing Triumph Tiger. Versys pun ada cuba tapi tiada gambar.
Lompatan tiruk sebelum makan malam
Sungai ni kedalaman 10 kaki (3 m). Jangan main - main

Selepas puas mandi di sungai, kami menjamu selera dengan masakan yang dimasak oleh Pok Deng lebih kurang jam 6.00 petang. Menu malam tu ialah nasi putih berlaukkan kari ekor lembu dan timun dicicah sambal belacan.

Gambar padu oleh Pok Deng

Dalam jam 10.00 malam, aku pulak masak roti canai frozen dan dicicah dengan lebihan kuah kari makan malam tadi. Air pulak aku buat kopi O 'Kopi Sai Kee 434'.

Supper roti canai

Masing - masing tidur dalam jam 11.00 malam. Khemah sorang 1 manakala aku pulak tidur kat hammock je tanpa flysheet. Tidur malam tu tak terasa sejuk sangat memandangkan aku pun sebelum tidur dah siap pakai jaket dan sleeping bag.


25 Mac 2018

Masing - masing bangun lebih kurang jam 6.00 pagi untuk solat Subuh. Turun je dari surau, Pok Deng panggil untuk beritahu yang sarapan telah diberi oleh tukang masak grup pelancong asing.

Setelah bersarapan yang agak berat juga hasil pemberian orang, jam 8.30 pagi kami bertiga (Zaki pening kepala sejak malam tadi) bergerak ke Takah Pandan (takah bermaksud air terjun/lata dalam bahasa Jakun) yang dipandu oleh Pak Jibit, orang asal dari suku kaum Jakun. Setelah sejam perjalanan yang agak santai (ada sikit je bahagian curam), kami sampai di Takah Pandan. Sejam yang diambil itu pun sebab Pak Jibit banyak bercerita mengenai hutan, pokok tongkat ali hitam (biasa kita jumpa yang putih) dan pengalaman sebagai pemandu pelancong. Kalau jalan saja tanpa henti, 30 minit pun rasanya boleh sampai.

Bahagian curam


Air yang jatuh setinggi 14 kaki yang memercik - mercik. Sejuk dan segar.

Kolam tak besar tapi dalam di sebelah kiri. Pak Jibit yang berbaju putih.
Depan pejabat Taman Negara

Setelah puas mandi dalam 25 minit, kami bergerak meninggalkan Takah Pandan dan tiba semula di Lubuk Merekek 45 minit kemudian.

Selepas mengemas kawasan camping, aku dan Pok Deng mandi buat kali terakhir di Sungai Selai sebelum bersiap - siap untuk pulang. Kami bergambar sebelum mula bergerak keluar pada jam 1.00 tengah hari.

Kami singgah di Pejabat Taman Negara untuk mengambil duit deposit RM 50 sebelum meneruskan perjalanan ke Warung Tok Nuar Baung Berapi, Durian Chondong dan tiba di situ lebih kurang jam 2.30 petang. Hujan sekejap selepas Felda Maokil sehingga sebelum Bukit Kepong.

Selepas makan dan solat di masjid Durian Chondong yang terletak bersebelahan warung, aku dan Zaki bergerak ke Bukit Gambir manakala Pok Deng dan Ibrahim patah balik ke Bukit Kepong untuk membeli durian. Hujan sepanjang jalan dari Durian Chondong ke Bukit Gambir. Pada asalnya, kami rancang untuk berkumpul di Petronas Bukit Gambir tapi Petronas tutup disebabkan kehabisan minyak jadi kami ke stesen minyak Shell bersebelahan.

Durian Bukit Kepong


Kami berdua tak menuggu lama sebelum Pok Deng dan Ibrahim sampai. Setelah mengisi minyak, kami bergerak ke arah tol Bukit Gambir dalam kedaan hujan yang masih lebat. Aku meneruskan perjalanan ke Melaka manakala Pok Deng, Zaki dan Ibrahim masuk ke hiway untuk pulang ke Selangor. Hujan semakin lebat semasa aku makin menghampiri rumah di Sungai Rambai pada jam 5 petang.


Resit Taman Negara


Peraturan di belakang resit

Kedudukan Lubuk Merekek


Jarak: 280 km
Minyak: RM 15.70

Untuk blog Pok Deng, boleh baca sini. Blog dalam Bahasa Inggeris dan lebih banyak gambar.

No comments:

Post a Comment